JJIM - Official Portal

INDUSTRY & COMMUNITY      NETWORK DEPARTMENT (ICON)

UMP dan Yayasan Sime Darby sumbang kelengkapan sekolah dalam Program Kembali ke Sekolah `Huluran Kasih’

0001 00012

Pekan, 12 Disember – Seramai 300 pelajar sekolah rendah dan menengah yang terdiri daripada anak-anak golongan berpendapatan rendah (B40) sekitar Kuantan dan Pekan seronok menerima pakaian dan kelengkapan sekolah baharu dalam program Kembali ke Sekolah `Huluran Kasih’ anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Yayasan Sime Darby (YSD) di UMP Pekan hari ini.

Hadir menyampaikan sumbangan adalah Ahli Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Aishah Shaikh Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Hajjah Yatela Zainal Abidin, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Jamil Ismail dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Abd. Hamid Majid.

Program ini merupakan hasil sumbangan pihak YSD untuk meraikan anak-anak dari 60 buah sekolah yang akan memulakan persekolahan pada Januari 2019 akan datang dan sebagai usaha membantu meringankan beban keluarga. Setiap daripada mereka menerima sepasang baju sekolah, kasut, stokin, alat tulis dan beg sekolah.

Menurut Prof Dr. Jamil, program ini hasil kerjasama erat antara pihak UMP dan Yayasan Sime Darby dalam memperkukuhkan lagi jaringan strategik kedua-dua pihak yang telah sedia terbina. UMP sentiasa terbuka dan bersedia untuk meneroka ruang dan potensi kolaborasi strategik yang lebih luas dengan pihak YSD.

“Ini termasuk perkongsian kepakaran saintifik dan teknikal Universiti ini dengan fokus urusan dan teras YSD sama ada dalam bidang Akademik atau Corporate Social Innovation (CSI). Selaras dengan pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020, pihak pengurusan Universiti ini komited untuk memasyarakatkan UMP melalui dua medium utama iaitu kepakaran teknologi dan gerak kerja kesukarelawanan,” katanya.

Dalam hubungan ini, pelbagai inisiatif libatsama sosial (social engagement) sedang dan akan diaturgerak bagi memastikan masyarakat umum, khususnya rakyat di Negeri Pahang menerima manfaat daripada kewujudan Universiti ini.

Justeru, bagi menjayakan agenda Universiti Komuniti dalam kerangka pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020, pihak pengurusan Universiti ini sentiasa menyambut baik sebarang hasrat daripada mana-mana jabatan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan, badan swasta, pertubuhan awam atau individu untuk berkolaborasi dalam pelbagai bentuk demi faedah umum.

Program pada hari ini bukan pengagihan peralatan sekolah semata-mata, malahan pihak YSD bersama 30 orang delegasinya turut turun padang melaksanakan gotong-royong di 12 buah rumah yang merupakan penerima manfaat program Facelift UMP yang telah dijalankan UMP.

Sehingga kini, sebanyak 114 buah rumah penduduk kampung telah dibaikpulih menerusi program Facelift bagi menaik taraf kampung ini dengan kerja-kerja mengecat rumah penduduk, kerja pembersihan, pengindahan, baik pulih rumah dan pemasangan solar bakal memberi keselesaan kepada penduduk.

Delegasi YSD turut berpeluang melawat rumah dan Kuala Pahang House atau singkatannya KP House yang merupakan pusat sehenti aktiviti dan interaksi antara warga UMP dan generasi muda di Kampung Kuala Pahang. Pelaksanaan inisiatif Kuala Pahang Facelift 2.0 kini memberi tumpuan kepada aspek motivasi diri, literasi pengetahuan, penerapan minat Sains, teknologi, Kejuruteraan, Matematik dan Sains (STEM) dan Bahasa Inggeris melalui penglibatan warga kerja dan mahasiswa Universiti ini.

#Berita disediakan oleh Pejabat Naib Canselor

Print Email